MENU

Gamitan air terjun tujuh tingkat di Lata Kulim, Gerik, Perak

KEJERNIHAN dan kesejukan air dari tujuh tingkat di kawasan bukit Lata Kulim, Gerik, Perak memang memukau pengunjung. Terletak kira-kira 15 kilometer (km) dari pekan Gerik dengan jarak hanya kurang dua km dari Lebuhraya Gerik-Lenggong dan di belakang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gerik, Lata Kulim dikelilingi pepohon hijau yang menyegarkan mata memandang.

Lebih mendamaikan, bunyi deruan air terjun tujuh tingkat berbaur dengan bunyi sang unggas menghasilkan muzik rimba amat mengasyikkan. Bagi mereka yang gemar memancing, pelbagai spesies ikan seperti tengas boleh diperoleh atau sekadar melihat ikan kecil bermain-main di gigi air. Malah, ada kanak-kanak sanggup meranduk untuk menangkap ikan-ikan kecil yang galak berenang. Pengunjung boleh memilih sama ada mahu bersantai di bawah teduhan bebayang pepohon atau di atas batu besar di tepi kolam.

Walaupun prasarana agak kurang mencukupi, anda masih boleh memasak sama ada berbeku atau sekadar mi segera. Pengunjung boleh menggoreng ikan pekasam dibeli daripada pengusaha di Tasik Raban, Lenggong atau di Kampung Tawai dekat situ. Pekasam Hulu Perak dinobatkan terbaik dalam negara sejak 2004. Anda mesti cuba untuk mendapat kepastian.

Lata Kulim sesuai untuk aktiviti perkhemahan dan lasak menyebabkan setiap hujung minggu ada pihak sekolah terutama dari daerah Hulu Perak menganjurkan aktiviti kokurikulum untuk pelajar.

Bagi pencinta seni kreatif, Lata Kulim boleh memberi 1001 ilham untuk berkarya. Kewujudan pelbagai flora dan founa termasuk bunga hutan dan unggas seperti rama-rama pelbagai corak dan warna menambahkan seri panorama tempat itu.

Jika bernasib baik, anda dapat melihat kelibat gajah liar di kawasan hutan berkenaan, tetapi haiwan itu tidak pernah mengganggu penduduk kecuali mencari makanan. Di musim buah-buahan, anda boleh memakan sepuas hati durian, rambutan, cempedak dan dokong atau membawa pulang dengan harga berpatutan.