MENU

Gerik suatu nama yang masih terpahat dan pernah tersurat sebagai kawasan hitam suatu masa lalu. Namun perubahan beberapa dekad ini telah menjanjikan suatu pembaharuan yang terancang untuk diulit oleh warga Gerik pada masa ni dan akan datang.

MAJLIS DAERAH GERIK sebagai sebuah Kerajaan Tempatan dan agen yang menguruskan pembangunan daerah dengan menyediakan perkhidmatan-perkhimatan kepada penduduk-penduduk melalui:

a. Memperbaiki dan menaikkan taraf kemudahan infrastruktur serta perkhidmatan.

b. Mengorientasikan Majlis Daerah Gerik ke arah kecemerlangan berlandaskan budaya kerja cemerlang.

c. Menggalakkan penglibatan penduduk serta sektor swasta dalam program-program pembagunan negara.

d. Menguruskan sumber-sumber ekonomi dengan efisyen serta memastikan halatuju pembangunan selaras dengan dasar dan polisi negara.

e. Mengeksploitasi keindahan alam semulajadi sejajar dengan kehendak keceriaan mengikut arah dan trend pembangunan pelancongan.

Sejarah Awal Penubuhan

L.P.K.T Gerik (Lembaga Bandaran)

Lembaga Bandaran Gerik telah ditubuhkan pada 1928, dan kawasannya telah dirasmikan pada 17 Febuari 1928. Lembaga Bandaran Gerik adalah dibawah Tadbiran Pegawai Daerah juga menjadi Pengerusi Majlis Bandaran Gerik,dan seorang Penolong Pegawai Daerah menjadi Timbalan Pengerusi. Atas arahan Kerajaan Negeri pada 1 Julai 1975 Lembaga Bandaran Gerik telah ditukar kepada nama Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan Gerik. Pada 1 Januari 1978 Kerajaan Negeri telah memberi kuasa automi kewangan L.P.K.T. Gerik dengan tujuan untuk menggalakkan Lembaga ini membuat kutipan hasil.

Kawasan L.P.K.T. Gerik atau dahulunya terkenal dengan nama Town Board kali akhir diwartakan dan berkuatkuasa mulai 1 Januari 1955 dengan warta Kerajaan No.1653. Luas kawasan yang telah diwartakan ialah lebih kurang 372 ekar. Dalam kawasan yang diwartakan ini termasuk kawasan bangunan perniagaan dan bangunan-bangunan pejabat serta rumah-rumah kerajaan dan kawasan UPRA (1) dan UPRA(8).

L.P.K.T.Batu Dua (Majlis Tempatan)

Majlis Tempatan Batu Dua ditubuhkan pada 1 Jun 1953. Majlis Tempatan diwujudkan setelah tertubuhnya Kampung Baru di Batu Dua. Kampung Baru ini merupakan Kampung penempatan semua penduduk dari kawasan pendalaman pada masa darurat dahulu.Pada mulanya Majlis Tempatan ini Dipengerusikan oleh seorang ketua yang dipilih oleh penduduk-penduduk di Kampung ini. Pada 1 Julai 1975 Kerajaan Negeri telah melantik Penolong Pegawai Daerah Kedua Gerik menjadi pengerusi.Pada tarikh yang sama juga Majlis Tempatan Batu Dua ditukar kepada nama L.P.K.T.Batu Dua,pertukaran pengerusi ini adalah bertujuan untuk melicinkan lagi pentadbiran dan supaya kutipan hasil dapat dijalankandengan teratur serta mengurangkan berlakunya tunggakkan hasil.

Kawasan L.P.K.T.Batu Dua atau lebih dikenali dengan nama Local Council ditawarkan pada 26 April 1962 dan nombor rasminya ialah 308. Luas kawasan yang ditawarkan ini ialah 30 ekar.Keseluruhan kawasan ini adalah Kampung Baru Batu Dua yang dipenuhi dengan kediaman dan beberapa lot kedai.

L.P.K.T. Kuala Rui (Majlis Tempatan)

Begitu juga L.P.K.T. Kuala ruai pada satu masa dahulu lebih dikenali dengan nama Majlis Tempatan Kuala Rui. Sejarah Majlis Tempatan Kuala Rui adalah sama seperti Majlis Tempatan Batu Dua juga. Asalnya adalah Kampung Baru hasil dari penempatan semula di zaman darurat. Majlis Tempatan diwujudkan pada 1 Jun 1953. Pengerusi Majlis Tempatan dilantik dikalangan penduduk setempat yang dipilih oleh orang ramai. Kemudian pada 1 Julai 1975, Penolong Pegawai Daerah Kedua Gerik dilantik oleh Kerajaan untuk menjadi Pengerusinya dan nama Majlis Tempatan ditukar kepada Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan Kuala Rui. Tujuan penukaran ini adalah sama seperti Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan Batu dua.

Kawasan L.P.K.T. Kuala Rui juga lebih dikenali Local Council telah ditawarkan pada tarikh yang sama dengan L.P.K.T.Batu Dua iaitu pada 26 April 1962 dan nombor rasminya 306 dengan keluasannya 26 ekar. Kawasan ini juga terdiri dari kawasan kediaman iaitu Kampung Baru Kuala Rui dan tedapat beberapa lot kedai sahaja.

Pada 1 Disember 1979 ketiga-tiga L.P.K.T tersebut dicantumkan dibawah satu pentadbiran Penguasa Tempatan yang dinamakan MAJLIS DAERAH GERIK dengan keluasan kawasan kawalan 104.88km persegi. Walau bagaimanapun kawasan operasi hanya melibatkan 2.64km persegi sahaja dan 1.51km persegi daripadanya merupakan kawasan Bandar.